Friday, November 5, 2010

Travelog Hidupku...(perayu cinta Hakiki...)

Assalamualaikum WBT.  Segala puji bagi Allah  yang telah mengatur seluruh  perjalanan alam ini dengan  sebaik-baiknya.  Selawat dan salam diutuskan buat idola tercinta Rasulullah SAW dan para keluarganya serta para sahabat seperjuangan Baginda.  Ucapan syukur yang tidak terkira kulafazkan kepada Pencipta di atas kurniaan nikmat  Iman & Islam dan memberikan kesihatan yang baik kepadaku  tika ini.  Sejambak doa ikhlas dariku buat arwah bonda & ayahanda tercinta moga roh kalian ditempatkan bersama golongan yang beriman & bertaqwa.  Ameen.
Alhamdulillah, pada hari ini Allah SWT menggerakkan hati dan tanganku untuk menulis.  Penulisan yang akan menceritakan sedikit sebanyak peristiwa yang berlaku sepanjang aku bertravelog di bumi yang indah ini.  Perjalanan hidupku yang sering berlaku inovasi, inovasi yang banyak mengubah sempadan iman ke arah bergelar insan yang  lebih baik disisinya.  Siapa yang tidak mahu istimewa dipandangan Allah?  Namun keistimewaan & impian itu sering digugat oleh kejahilan yang kucipta sendiri.  Menjadikan diri jauh daripada rahmat & kasih sayang Allah SWT.
 Astaghfirullah.  Ampunkan aku Ya Allah.
 Hari ini genaplah umurku 22 tahun.  Sementara hati menari riang lepas diraikan oleh sahabat-sahabat tersayang, mindaku ligat merenung perubahan diri.  Selama 22 tahun aku mengembara di Bumi Tuhan, banyak perubahan-perubahan yang telah berlaku dalam hidupku.  Ada perubahan yang positif, tak kurang jua ada yang negatif.  Aku dilahirkan dalam keluarga yang sederhana, tahap agama yang aku rasakan jua sederhana.  Namun apa yang pasti sejak kecil aku dan adik-beradik yang lain di ajar mengaji al-Quran dan bersolat.  Kadang-kadang arwah ibuku terpaksa menggunakan kekerasan supaya kami pergi ke surau berdekatan untuk belajar al-Quran.  Kasihan ibuku terpaksa berhadapan dengan anak-anak yang sememangnya degil dan agak malas.  Al-Fatihah untuk arwah ibu diiringi doa tulus ikhlas dariku.  Namun bukan itu yang ingin ku nukilkan di sini.  Biarlah ia menjadi lipatan sejarah yang amat manis untuk dikenang dan dikongsi oleh kami adik-beradik.
Apa yang ingin kucoretkan di sini adalah tentang perjalanan hidupku.  Suatu perjalanan yang agak mencabar dan kadangkala memerlukan ketabahan sebagai peneman setia, air mata sebagai terapi, dan kekuatan sebagai benteng kelemahan.  Mukaddimah sejarah hidupku umpama gurun Sahara yang kering-kontang.  Kering tanpa mengenal ilmu Tuhan yang sebenar-benarnya.  Jahil tentang makna Islam itu sendiri.  Bukan niatku ingin membuka pekung di dada namun jika pekung di dadaku ini mampu menyuntik keinsafan dan pengajaran untuk semua, aku rela.  Moga apa yang ingin kusampaikan mampu memberi manfaat kepada insan yang membacanya.  InsyaAllah, permudahkanlah Ya Allah.
Suatu ketika dahulu sebelum aku mengenal dunia luar yang penuh pancaroba, aku cukup menjaga aurat terutama dalam bab berpakaian.  T-shirt berlengan panjang sering kujadikan tirai untuk menutup diri.  Ibuku sering menungkapkan kata bangga dengan imejku yang sebegitu.  Aku tersenyum puas.  Namun apabila diriku semakin menginjak dewasa, aku mula mengikut arus fesyen semasa.  Baju semakin singkat dan ketat, tudung yang ku pakai juga sengaja ku sentengkan untuk lebih bergaya.  Apa jua jenis pakaian terkini untuk remaja ku cuba.  Jeans,blaus dan bermacam-macam lagi yang sudah pastinya membawa aku semakin lari dari tuntutan berpakaian muslimah yang sebenar.  Namun dek kerana kecetekan ilmu dan kejahilan diri, aku tersenyum bangga dapat menyarungkan pakaian sebegitu demi tidak mahu dikatakan ketinggalan zaman.  Astaghfirullah, ampuni aku Ya Allah.
Namun, ada sesuatu yang tidak kena pada diriku.  Walaupun aku berpakaian sebegitu, aku masih lagi merasakan belum ada kepuasan.  Anehnya, terasa seperti ada sesuatu yang kurang.  Mengapa? Aku sendiri buntu memikirkan masalah ini.  Bila aku melihat sahabat-sahabat sepertiku mengenakan pakaian tersebut, ada riak kepuasan pada mereka.  Tapi mengapa tidak aku?  Kadang-kadang aku terasa malu juga bila berpakaian ketat untuk keluar ke bandar, namun bila   ada sahabat yang lain memberi komen yang positif, kugagahi jua.  Jahilnya aku Ya Allah.  Ampunkan aku Ya Allah.  Suatu ketika aku berbaju kurung keluar ke bandar, lalu dengan takdir Allah melintaslah beberapa orang muslimat dihadapanku.  Gaya pemakaian mereka sama seperti pakaian rutin yang aku pakai sebelumnya.  Dengan tidak semena-mena fikiranku berbisik “Ya Allah, ketatnya.  Macam mana la kalau melintas depan orang laki ni.”  Tika itu baru ku sedar kejahilan diri.  Ya, kita hanya tahu menilai orang lain sedangkan diri sendiri banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki.  MasyaAllah.  Namun kesedaran terhenti setakat itu sahaja.  Masih belum terbit keinsafan yang sebenar-benarnya.  Permudahkanlah Ya Allah.
Hinggalah apabila aku mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke salah sebuah universiti di Utara.  University Utara Malaysia (UUM).  Aku terpisah dengan sahabat karibku.  Masing-masing membawa haluan sendiri dek kerana tuntutan ilmu.  Alhamdulillah kami berempat berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.  Itulah yang menjadi kebanggaanku apabila semua sahabat karibku  mendapat peluang itu.  Syukur padaMU Ya Allah.  Di UUM bermulalah kehidupanku sebagai seorang pelajar kembali.  Dengan bidang Bachelor Pentadbiran Muamalat, aku diperkenalkan dengan pensyarah-pensyarah yang kebanyakannya terdiri daripada mereka yang bergelar ustaz dan ustazah.  SubhanAllah.  Setiap kali sesi kelas bersama mereka, banyak suntikan ilmu agama yang berjaya menusuk masuk ke tangkai hatiku.  Aku mula memuhasabah diri.  Masih aku ingat lagi nasihat seorang ustaz “kita belajar bukan untuk periksa tapi untuk mendapatkan ilmu, perbaikilah niat anda semua”.  Dalam diam ku akui kebenaran kata-kata tersebut.  Belajar hanya untuk lulus exam takkan ke mana, abes exam hilanglah segalanya.  Tapi jika belajar untuk mendapatkan ilmu tersebut, InsyaAllah ia akan kekal sampai bila-bila.  Satu ilmu yang sangat berguna kupelajari.  Pensyarah-pensyarahku yang islamik juga sering menekankan etika berpakaian sebagai seorang muslimin dan muslimat.  Apabila berpakaian mengikut syariat yang ditetapkan, insyaAllah akhlak juga akan selari mengikutinya.  Namun harus di ingat hati perlu ikhlas melakukannya, jika tidak, pakaian tersebut tidak akan mampu untuk mengubah akhlak seseorang.  Yang penting hati.  Terasa nasihat itu terkena pada diriku.  Sekali lagi aku tunduk memuhasabah diri.
Berbalik kepada ceritaku, hari demi hari mindaku dihidangi dengan pelbagai nasihat berunsur keagamaan.  Ceramah dan forum-forum agama yang ku hadiri juga meninggalkan kesan yang amat mendalam dalam proses memperbaiki diri ke arah bergelar hamba Allah yang lebih baik.  Moga Allah memberi  kesejahteraan hidup di dunia juga di akhirat kepada penceramah-penceramah tersebut atas ilmu yang disebarkan.  Ameen.  Walau pun begitu diri ini masih juga kekal dengan penampilan lama.  Bukan aku tidak mahu berubah.  Hati ini kadang kala meronta  inginkan perubahan.  Mungkin aku perlukan sedikit masa lagi untuk memantapkan diri.  Ini kerana setelah perubahan berlaku nanti aku harap aku akan terus beristiqomah.  Bukan hanya perubahan yang sementara.  Suatu ketika  sewaktu aku ingin pulang ke kampung untuk bercuti semester, aku menaiki bas yang disediakan untuk setiap anak negeri masing-masing.  Jadi aku bersama-sama rakan se negeri yang lain berpakat untuk menaiki bas tersebut.  Aku duduk di sebelah sahabat lamaku waktu di zaman persekolahan. Lelaki.  Tidak berapa lama kemudian naiklah seorang kakak senior yang memakai hijab labuh.  Sebaik sahaja terpandang kakak tersebut, sahabatku yang lelaki tadi terus bertanya satu soalan yang sehingga kini aku masih mengingatinya.  “eh, ko tak teringin ke nak pakai macam kakak tu?”.  Ya Allah, begitu mendalam maksud soalan itu padaku. (p/s_buat sahabatku Shafie, terima kasih atas soalan itu.  Allah telah menyampaikan kesedaran kepadaku melalui perantaraan denganmu.  Moga Allah merahmatimu sahabat…).  Apa yang aku mampu jawab tika itu adalah “insyaAllah, ko doakanlah yang terbaik untuk aku ek”.  Malam itu aku muhasabah diri lagi.  Ya Allah berikanlah aku kekuatan untuk berubah ke arah kebaikan dan kekalkan aku di jalan itu.  Sebak hatiku tatkala merayu kepada Allah sebegitu.  Moga Allah mendengar rayuanku.
Selang dua bulan berikutnya cuti semeterku telah tamat.  Aku terpaksa pulang semula ke Utara demi meneruskan misi yang belum selesai di medan ilmu.  Dalam hati aku berdoa penuh pengharapan kepada “Majikanku” yang Maha Agung.  Ya Allah, suntikkanlah semangat dan keazaman yang tinggi padaku untuk berubah mengikut syariatMU, tautkanlah hatiku dengan golongan-golongan yang beriman dan bertaqwa, Ya Allah, dari jauh aku mengembara mencari ilmu, bukan sahaja ilmu dunia yang ku mahu tapi jua ilmu akhirat yang boleh melonjakkan aku daripada sempadan kejahilan kepada sempadan ketaqwaan.  Ya Allah, sesungguhnya seruanMU sudah lama sampai dihadapan pintu hatiku.  Namun hanya aku yang masih belum membuka pintu tersebut.  Seringkali ku lari berpaling tatkala ku lihat seruan itu.  Bantulah aku Ya Allah, lembutkanlah hatiku Ya Allah, hilangkanlah titik-titik hitam dalam hatiku agar aku dapat menempatkan seruanMU di situ.  Ameen Ya Robb.
Doa ini sering berlegar-legar dalam mindaku.  Apatah lagi jika sewaktu aku dalam perjalanan ke kelas melintas di hadapanku muslimat yang bertudung labuh.  Ya Allah, sejuknya mata ini memandang ciptaanMU.  Semoga Engkau memberi kesejahteraan dan ketenangan kepada mereka Ya Allah.  Hati kecilku berbisik “bila la aku nak berubah macam ni”…..
Suatu ketika aku berhalaqah bersama seorang sahabat. 
Aku : kak, tadi kan masa nak pergi kelas saya terserempak dengan seorang muslimat bertudung labuh.  Ya Allah kak, bila saya tengok dia sejuk rasa hati ni.  Tak tahu nak cakap macam mana.  Manis sangat wajahnya.  Bukan setakat dia sorang tp muslimat lain yang bertudung labuh pun saya tengok bersih sangat air muka dorang semua.  Kita bila lagi nak jadi camtu ye kak?
Sahabat : yela, akak pun sama macam kamu jugak.  Bila berselisih dengan muslimat yang bertudung labuh rasa macam sejuk je hati tengok dorang.  Jalan pun tunduk, tak melilau ke sana sini.  Bertuah kaum Adam dapat bidadari macam tu…..
Terdiam sebentar.  Masing-masing memuhasabah diri sendiri. 
Tiba-tiba sahabatku bersuara….
Sahabat : Jom kita pakai tudung labuh nak x…..?  sem depan kita start pakai…..
Aku : hah…kenapa tidak sekarang….?.(aku yang masih kebingungan terkeluar soalan itu…)
Sahabat : ni kan dah nak abes sem….kita balik kampung, muhasabah diri betul-betul dan semester  baru nanti kita buka dengan penampilan baru…ok tak?
Aku : insyaAllah kak. 
Begitulah setiap kali kami berhalaqah pasti isu tudung labuh menjadi salah satu topik yang gemar menjadi perbincangan.  Dan di penghujungnya diakhiri dengan keinsafan.  Lembutkanlah hatiku Ya Allah.
Dari situ aku sering mencuba-cuba tudung bidang 60 kepunyaan sahabatku.  Beliau sememangnya memakai tudung sebegitu sejak kali pertama aku mengenalinya.  Dari apa yang aku tahu, beliau dahulu juga pernah bersekolah di sebuah sekolah agama.  Pertama kali aku cuba memakai tudung tersebut, Ya Allah….aku dapat merasakan kelainan yang amat ketara sekali menggetarkan hati dan jiwaku.  Subhanallah.  Terasa sebak saat itu apabila sebahagian tubuhku terselindung disebalik tudung yang besar dan labuh.  Nikmatnya Ya Allah.  Hanya Allah yang tahu betapa hatiku amat tersentuh ketika menatap wajahku di cermin dengan penampilan yang sebegitu.  Akhirnya berjaya juga ku buka pintu hatiku yang selama ini tertutup dengan karat kejahilan untuk mengalu-alukan hidayah dan petunjuk dariMU.  Alhamdulillah.  Perasaan gembira, kesal dan sedih yang sukar aku jelaskan kepada semua.  Gembira kerana akhirnya hatiku dapat menerima tudung labuh sebagai pelengkap penampilan muslimah, kesal dan sedih kerana memikirkan kejahilan yang terdahulu.  Ampunilah aku Ya Allah.
Bermula daripada percubaan pertama, aku sering meminjam tudung sahabatku untuk membiasakan diri dengannya.  (p/s : syukran pada ukhti Rosilah kerana sudi meminjamkan tudung beliau padaku dan sentiasa menyokong perubahanku ini.  Moga Allah memberkati hidupmu dan keluargamu di dunia jua di akhirat..ameen Ya Allah). Tidak lama setelah itu aku mula membeli tudung labuh sendiri( bidang 60).  Tak banyak, hanya dua helai sahaja.  Untuk permulaan bagiku ia sudah mencukupi.  Alhamdulillah sahabat-sahabatku yang lain memberi sokongan yang sepenuhnya tanpa kritikan sedikit pun.  Terima kasih sahabat-sahabatku, kalian adalah penguat semangatku di sini.  Sayang kalian semua. 
Suatu hari ketika sedang minum petang di bilik sahabatku, tiba-tiba dia bertanya pendapatku…….
Sahabat : apa kata kalau kita pakai tudung labuh yang berjahit tu nak x? macam tudung sekolah kita dulu tapi kita labuhkan. Lagipun tudung camtu murah je, tak payah berhabis sampai RM50 untuk nak beli.  Biasa kalau semeter setengah baru RM12….jimat, mudah nak pakai dan yang penting manutup aurat macam yang dikehendaki syariat.
Aku : hurmmm….betul gak tu kak.  Lagipun skang ni saya dah dapat biasakan diri pakai tudung labuh bidang 60 tu.  Tapi satu je masalah saya yang tinggal, saya takut hati ni tak betul-betul istiqomah.  Kalau boleh bila dah mula pakai tudung labuh berjahit tu saya tak nak berpaling ke belakang lagi.  Akak tengokla baju-baju kurung dan baju t-shirt saya tu….semua tak sesuai untuk disepadankan dengan tudung labuh….agak ketat dan mengikut bentuk tubuh.
Sahabat : ala tu bukan halangannya, kat sini kan senang nak cari t-shirt labuh untuk muslimah punya.  Kita beli sikit-sikit.
Aku : tengokla macam mana nanti….(aku menjawab lemah….)
Akhirnya semester itu berakhir dengan dilema yang tiada penghujungnya.  Sukarnya untuk membuat keputusan.  Namun kuyakin dengan kuasa Allah.  Aku pasti akan berubah juga suatu hari nanti.  Tapi bila? Aku sendiri tak pasti.
***********************************************************
Semester baru bermula lagi.  Kini aku berada pada semester kelima di gedung ilmu Sintok.  Gedung ilmu yang banyak memberi manfaat dalam hidupku untuk bergelar hamba Allah yang istimewa.  Teringat pesanan seorang pensyarah “Allah akan mengangkat darjat orang-orang  yang berilmu”.  Ya, memang benar.  Orang yang berilmu selalu dipandang tinggi dan dimuliakan oleh masyarakat.  Namun bukan kemuliaan yang kudambakan tetapi ilmu itu sendiri yang kudahagakan.  Bagiku, biar hina dipandangan manusia janji tidak hina dipandangan Allah.  Lalu semester ini akan ku manfaatkan dengan sebaik-baiknya agar beroleh berkat selari dengan niatku untuk mencapai redha Allah dalam apa jua yang aku lakukan. 
Suatu petang aku ke bilik sahabatku.  Memang menjadi kebiasaan bagiku berkunjung ke biliknya jika kelapangan waktu.  Ada sahaja topik yang kami bualkan dan berkongsi cerita masing-masing.  Sedang bercerita sahabatku memberitahu sesuatu……
Sahabat : akak nak keluar beli kain nak wat tudung labuh hujung minggu ni…..kamu macam mana, nak ikut tak?
Aku terdiam sejenak.  Berfikir,berfikir dan terus berfikir untuk memberi jawapan yang pasti.  Aku sendiri tak pasti adakah aku benar-benar sudah bersedia atau tidak untuk perubahan ini.
Sahabat : tak apalah kalau belum sedia lagi, nanti kalau beli membazir pulak kalau tak pakai.  Tunggu dah sedia baru gi beli ek.  Akak gi beli dulu, nanti kalau kamu nak beli akak temankan.
Macam mana sahabatku ni boleh baca apa yang tersirat dalam hatiku tika ini?
Aku : saya rasa macam belum sedia lagi la kak.  Memang hati nak sangat, tapi saya pun tak tahu kenapa sukar sangat  untuk saya buat keputusanAkak beli la dulu, nanti kalau saya dah sedia akan menyusul akak.
Hanya itu jawapan yang boleh ku berikan saat ini.
                **************************************************************
Tibalah hujung minggu yang dinantikan…..
Aku : kak, jadi tak nak keluar hari ni?
Sahabat : insyaAllah jadi. Kenapa?
Aku : nak ikut gak….saja nak jalan-jalan, takde apa nak buat kat kampus.
Sahabat : okey boleh je…jom bersiap…
Lalu aku pun keluarlah outing pada hari ini bersama dengan sahabat-sahabat yang lain.  Tiba di Jitra, aku mengikut sahabat yang ku panggil kakak tadi membeli kain untuk dijahit sebagai tudung labuh.  Dengan izin Allah sebaik sahaja aku melihat kain tersebut, semangat dan kekuatan untuk memakai tudung labuh kembali membara.  Subhanallah!....kali ini aku nekad, ku bulatkan keazaman untuk turut memakai tudung labuh.  Tangan pantas memilih warna-warna yang bersesuaian dengan baju kurung yang aku ada.  Daripada hanya menjadi peneman setia sahabatku, kini kain yang ku beli untuk membuat tudung labuh sama banyak dengan yang sahabatku punya.  Tujuh helai semuanya.  Hatiku tersenyum puas.  Akhirnya ada hikmah dan nikmat yang terlindung di sebalik keputusanku untuk mengikut mereka keluar pada hari ini.  Alhamdulillah.
Pulang sahaja daripada jitra, aku mula berkira-kira siapa yang nak tolong jahit tudung ni.  Aku mana pernah jahit tudung labuh sebelum ni.  Banyak pulak tu.  Aku meminta salah seorang sahabatku untuk membantu kerana beliau  pandai menjahit. Namun dek kerana kesibukannya, aktiviti menjahit tudungku tergendala.  Aku sama sekali tidak menyalahkannya.  Ku cari waktunya yang terluang dan bila berkesempatan, ku curi waktunya sedikit untuk mengajarku menjahit.  Ajar untuk 2 cm pun tak apa, aku hanya nak tahu teknik yang digunakan sahaja.  Selebihnya biar aku buat sendiri. Alhamdulillah akhirnya dia membantu aku menjahit sehelai tudung hingga siap sepenuhnya.  Dan tudung yang selebihnya aku jahit sendiri.  Tak susah sangat rupanya.  Dalam masa dua hari aku berjaya menjahit kesemuanya.  Itu pun diselang seli dengan kesibukanku ke kuliah.  Okey jahit dah siap, tapi tepi tudung nak lilinkan macam mana.  Aku tak berapa suka kalau ianya dijahit tepi.  Nak lilin tak pandai, masih ku ingat saat ku lilin tudung sekolah dulu, habis hitam jadinya .  Sekali lagi aku perlu bantuan sahabatku.  Dengan senang hati dia menerangkan kepadaku tip untuk mengelakkan kain hangus di jilat api ketika proses melilin.  Katanya, pastikan sisi tepi tudung tiada lebihan benang  yang berjuraian. Kalau ada guntingkan.  Aku pun cuba mengikut tip tersebut.  Memang benar katanya, dengan cara itu aku dapat melilin dengan cepat dan mudah.  Takde lagi kesan hitam.  Yes…!!! Dua ilmu yang ku pelajari ini akan memudahkan aku untuk membuat tudung labuh pada bila-bila masa yang aku nak tanpa menyusahkan sahabatku lagi.  (syukran pada sahabatku Noor Azita atas bantuan yang dihulurkan..doaku semoga Allah mempermudahkan segala urusanmu di dunia jua akhirat…ameen).  Aku bersyukur dipertemukan dengan sahabat-sahabat yang baik .  Mereka sering menghulurkan bantuan setiap kali aku memerlukan.  Dan ucapan syukur ini sudah tentu berbalik semula kepada Allah yang Utama kerana DIA lah yang membantuku melalui perantaraan sahabat sekalian.  DIA jualah yang menggerakkan hati sahabat untuk membantuku.  Alhamdulillah.
******************************************************************
Kini , aku tampil dengan penampilan terbaru.  Penampilan yang selama ini aku idamkan.  Gaya yang selama ini aku dambakan sebagai seorang muslimah dan hamba Allah yang bersyukur.  Aku benar-benar selesa dan yakin dengan imej baruku ini.  Tiada lagi perasaan gusar dan resah menghantui diriku sebagai mana dahulu.  Imej baruku ini benar-benar memenuhi kehendak jiwaku, membuatkan hatiku mudah menerimanya.  Jiwa terasa lebih tenteram dan selamat dengan hijab labuh yang menutupi dada dan sebahagian tubuhku yang lain.  Alangkah indahnya nikmat memakai hijab labuh ini.  Sesungguhnya sesuatu yang disuruh Allah pasti sesuatu yang istimewa dan membawa berjuta rahmat kepada hambaNYA jika dituruti.  Masakan Allah menetapkan sesuatu tanpa hikmah disebaliknya. 
Semestinya tidak bukan???....Cuma antara kita sedar atau tidak sahaja akan kewujudan hikmah tersebut.  Allah lebih mngetahui apa yang terbaik untuk hambaNYA.  Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar…..
Banyak keistimewaan yang aku rasai sepanjang aku bertudung labuh.  Antaranya secara automatik aku dapat membataskan pergaulan dengan sahabat lelaki, tiada lagi suara terjerit-jerit seperti dahulu.  Mereka juga lebih menghormatiku, tidak lagi menyentuhku sesuka hati.  Selain itu ketika aku membeli sesuatu di mana-mana kedai jurujual lelaki tidak lagi memulangkan baki duitku secara tergopoh-gapah hingga menyentuh tanganku.  Sebaliknya mereka lebih memilih untuk meletakkkan duit di bawah supaya aku dapat mengambilnya.  Jika diberikan di tanganku sekali pun mereka lebih berhati-hati supaya tidak tersentuh telapak tangan ini.  Istimewanya syariat Allah.  Namun aku tidak menafikan masih ada sesetengahnya yang masih tidak menghormati adab sebegitu.  Moga Allah membuka pintu kesedaran kepada mereka.
 Ada lagi satu peristiwa yang masih ku ingat hingga kini, membuatkan aku semakin mengagumi hikmah bertudung labuh.  Pada suatu hari aku dipanggil untuk sesi temuduga Jawatankuasa Pembangunan Mahasiswa di pejabat kolej kediamanku.  Aku tidak mendapat makluman bahawa ia memerlukan aku berpakaian rasmi iaitu berbaju kurung.  Oleh itu, memandangkan temuduga itu berlangsung selepas isyak maka aku pun hanya mengenakan t-shirt labuh muslimah sahaja.  Sampai sahaja di depan pejabat, aku melihat ada dua orang adik juniorku memakai baju kurung.  Ah sudah, detik hatiku. 
akak,kenapa tak pakai baju kurung..? sapa salah seorang daripada mereka.
la kena pakai baju kurung ke, akak ingatkan temuduga tak formal malam-malam camni.  Dah tu camne ni ek…? tanyaku mulai cemas.  Nak balik semula ke bilikku akan mengambil masa 15 minit.  Belum dicampur dengan tempoh masa nak iron baju lain lagi, bersiap lagi.  Pening kepala aku dibuatnya.  Tiba-tiba aku teringatkan sahabatku yang mana biliknya berhampiran sahaja dengan pejabat. 
takpe, akak pegi bilik kawan akak jap..”ujarku lalu bergerak pantas ke bilik yang dimaksudkan.
Sampai sahaja di biliknya…….
Assalamualaikum……” salam kuberikan.  Setelah salamku dijawab aku pun melangkah masuk.
awak, malam ni kena pakai baju kurung la.  Saya ingatkan juz pakai camni pun takpe.  Bleh pinjam jubah tak…?  pintaku penuh pengharapan.
owh yeke, boleh je. Apa salahnya, cubalah mana satu yang sesuai…” jawab sahabatku. 
Tangannya pantas mencari jubah yang terbaik untukku.  Baik betul sahabatku ini.  Lalu dengan segera jubah itu digosoknya.  Aku meminta untuk melakukannya sendiri namun dia bertegas mahu mambantu.  (kepada sahabatku Diana Dahlan, terima kasih atas segalanya.  Doaku moga Allah sentiasa memberikan pertolonganNYA kepadamu…ameen Ya Robb…).  Setelah siap digosok baru kami sedar dibahagian tepi jubah itu terkoyak sedikit.  Ya Allah, satu lagi masalah yang timbul sedangkan masa semakin suntuk.  Aku mendapat satu idea.  Kesan yang terkoyak di bahagian tepi itu ku pinkan dengan kerongsang.  Apabila aku mengenakan  tudung labuhku, tempat yang terkoyak itu tidak langsung kelihatan kerana terlindung di bawah tudung.  Subhanallah, Allah menutup aibku pada malam ini dengan hikmah tudung labuh yang ku pakai.
Ada lagi satu peristiwa berlaku di mana ketika itu aku menaiki bas untuk ke kuliah.  Disebabkan bas tersebut penuh dengan pelajar, maka sudah menjadi kelaziman bagiku untuk berdiri.  Aku berdiri di bahagian yang agak belakang.  Di kerusi belakang aku berdiri ada seorang pelajar asing dari Somalia yang duduk.  Apabila sampai di suatu tempat dia ingin turun.  Aku menempel ke tepi sedikit untuk memberi laluan memandangkan tiada tempat lain yang lebih selamat.  Namun ku tunggu dia melintas tak melintas jugak.  Dia ni nak turun ke tak, rungut hatiku.  Bila ku berpaling ke belakang iaitu ke arahnya dia mempelawa aku duduk dikerusi tempatnya tadi.  Rupanya dia tidak mahu melintas selagi aku tidak duduk untuk mengelakkan daripada aku tersentuh dengannya.  Alhamdulillah.  Aku mengucapkan terima kasih kepadanya lalu duduk.  Aku kagum dengan sikapnya yang menghormati kaum wanita.  Bukan seperti sesetengah pelajar lelaki yang lain termasuklah pelajar beragama Islam sekali pun kebiasaannya ikut suka redah je. 
                *****************************************************************
Seterusnya ku bawakan pula kisah penulis kesayanganku ini mengenai keistimewaan bertudung labuh berdasarkan pengalamannya sendiri.  Moga beroleh manfaat.
Tudung Labuh - Pengalaman menarik Fatimah Syarha menerusi kolum Remaja Majalah Solusi isu no 21.

Semoga bacaan ini dapat "put things into perspective" buat kita dalam menilai dan memahami kewajipan menutup aurat sebagaimana yang dituntut agama, insyaAllah.

Corat-Coret Kisah Tudung Labuh…

“Akak, kenapa akak pakai tudung labuh?” Soalan ini sudah banyak kali dilontarkan oleh remaja kepadaku. Adik bongsuku, Asiah Yusra yang sedang mekar meniti usia remaja, turut bertanya. Melihat wajahnya yang saling tidak tumpah dengan iras wajahku, aku terasa bagaikan sedang melihat diriku sendiri. Aku pernah remaja dan terpesona melihat kakak sulung bertudung labuh. Kufahami, remaja bertanya kerana mereka sedang tercari-cari identiti diri.

Kali pertama aku memilihnya sebagai imej diri ketika usiaku remaja. Saat itu, aku bertudung labuh kerana keindahannya menghiasi wanita-wanita berakhlak mulia yang kukenali. Ibuku, kakakku, kakak-kakak naqibahku, ustazah-ustazahku semuanya bertudung labuh. Hingga aku mensinonimkan tudung labuh itu dengan keindahan, keperibadian dan kebaikan. Walaupun aku turut mengenali teman-teman bertudung labuh yang akhlaknya bermasalah namun aku masih menemui keindahan jiwanya, ingin menjadi lebih baik. Hari ini, aku memilih tudung labuh kerana aku yakin ia lebih istimewa pada pandangan-Nya.

Ketika remaja, aku hampir tidak sedar banyak pertanyaan yang terpendam. Mungkin saat itu aku tidak tahu apa yang aku perlu tahu. Hinggalah persoalanku terjawab satu demi satu. Hikmah bicara kakak-kakak naqibahku menerangkan pelbagai soalan yang kutagihkan pengertian. Yang paling kuingati, Kak Siti Aisyah Mohd Nor (kini merupakan bidadari kepada seorang tokoh agama terkenal). Jasa kalian selamanya harum dalam ingatan.

Yang Tertutup Itu Indah

Ketika kubertanya tentang tudung labuh, mudah jawapan yang pernah kuterima, “Yang tertutup itu indah!” Jawapan yang membawaku mengkaji surah al-Ahzab ayat 59, maksud dan tafsirannya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai Nabi, katakan kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, ‘hendaklah mereka melabuhkan jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali sebagai wanita baik agar mereka tidak diganggu.’”

Ya, sedangkan buku yang kita sayangi, kita sampulkan seindahnya. Inikan pula bentuk tubuh wanita, takkan tiada sampulnya? Kuperhatikan kulit bukuku yang bersampul lebih terjaga berbanding kulit bukuku yang tidak bersampul. Kuperhatikan langsir yang cantik menghias pintu dan tingkap. Kuperhatikan kain yang mengalas meja dan perabot. Benar, yang tertutup itu indah! Begitu juga cara Allah menghargai keindahan wanita dengan menggariskan perbatasan aurat. Agar keindahan itu hanya dinikmati oleh insan yang berhak. Bukannya diratah-ratah oleh pandangan yang sakit.

Istimewa Bertudung Labuh

Di sini, aku tidak mahu berbicara panjang tentang kewajipan menutup aurat. Apa yang ingin kukongsi di sini adalah tentang beberapa peristiwa dalam hidupku yang membuatkan aku berasa tudung labuh itu benar-benar istimewa. Allah banyak kali menyelamatkan dan memudahkan urusanku dengan asbab tudung labuh.

Dikejar Tebuan Tanah

Dalam satu program motivasi remaja, aku menyertainya sebagai salah seorang fasilitator. Antara aktiviti yang dilakukan ialah jungle trekking. Aku mengetuai barisan remaja puteri yang siap sedia memasuki hutan. Taklimat dan doa dimulakan.

Menderap ke tengah belantara, tiba-tiba peserta puteri paling depan terlanggar sarang tebuan tanah. Tebuan tanah berterbangan garang. Sedia menyerang. Peserta itu menjerit kesakitan kerana disengat. Peserta di belakangnya turut menjerit ketakutan. Aku yang turut berada di barisan depan ketika itu melaungkan takbir. Lantas mengarahkan peserta yang lain berundur. Mereka bertempiaran lari.

Sementara aku tetap bertahan di situ. Kututup sebahagian wajahku dengan tudung labuhku. Tangan turut kusembunyikan di bawah tudung labuh. Kulindungi beberapa peserta yang terkepung dengan tudung labuhku agar tidak disengat lagi. Segera kubawa mereka berundur. Ajaibnya, seekor tebuan pun tidak berjaya menyengatku. Subhanallah! Maha Suci Engkau yang menyelamatkan aku dengan secebis kain buruk ini.




Terlindung daripada Mata Mat Rempit

Suatu hari, aku ingin pulang ke kampusku di UIA setelah bercuti pertengahan semester di kampung halaman. Seperti biasa, aku membeli tiket bas dan berusaha mencari bas yang mempunyai tempat duduk seorang. Request. Ini penting bagi mengelakkan aku terpaksa bermalam di dalam bas dengan bertemankan seorang lelaki asing di sebelah.

Akhirnya kumembeli tiket dengan sebuah syarikat bas yang belum pernah kunaiki . Sebelum menaiki bas, aku berpesan kepada pemandu kedua agar menurunkan aku di Greenwood. Semua mata terlena melepaskan kelelahan hidup dengan mengembara ke alam mimpi yang seketika. Kedengaran sayup-sayup suara pemandu bas mengejutkan aku dari tidurku. Lantas aku terjaga separuh sedar. Ketika itu, aku duduk di kerusi seorang paling depan, tidak jauh dari pemandu.

Jam baru menunjukkan pukul 4.30 pagi. Badanku amat penat dan urat kepala terasa merenyuk. Aku bangkit dari kerusiku dalam keadaan mamai menuruni bas. Ketika berada di luar bas, aku masih sangat mengantuk. Terasa secepat kilat bas meninggalkanku.

Ya Allah! Aku terkejut kerana hanya aku seorang yang menuruni bas. Lagipun, tempat bas itu memberhentikan aku bukannya tempat perhentian bas di Greenwood seperti kebiasaan. Aku langsung tidak mengenali tempat itu. Tiada peluang untukku bertanya atau membatalkan saja tempat perhentian itu. Nyata aku sudah terlewat. Asap bas pun sudah tidak kelihatan.

Aku berada di sebuah perhentian bas. Jalan raya di hadapannya lurus. Lengang. Sunyi. Kawasan sekitarnya adalah kawasan perumahan yang sedang bergelap. Jalur-jalur cahaya hanya sedikit. Kupandang ke belakang dan mendapati tidak jauh dari situ terdapat sebuah masjid. Namun, ia kelihatan gelap. Sunyi. Kelihatan seekor anjing berwarna hitam, besar dan garang sedang berlegar-legar di luar pagar masjid. Ya Allah, pada-Mu aku bertawakal.

Aku segera menelefon kenalan rapatku, Puan Norliza Mohd Nordin untuk mengambilku. Pada masa yang sama, mataku melilau mencari kayu atau besi yang akan kugunakan sebagai senjata seandainya anjing itu mendekatiku.

“Di mana?” Tanya Puan Norliza. Susah-payah aku cuba menerangkan lokasi yang asing itu. Tambahan pula, aku tidak dapat melihat papan tanda yang menunjukkan nama masjid. Kehadiran anjing itu membuatkan aku tidak berani menghampiri masjid. Sukar Puan Norliza mentafsirkan lokasi aku berada.

Tiba-tiba, sekumpulan samseng jalanan dengan pelbagai aksi motosikal yang berbahaya berhenti beramai-ramai di seberang jalan tempatku berada. Bagaikan ada mesyuarat penting di situ. Aku tiada tempat bersembunyi. Apa yang mampu kulakukan adalah tetap berdiri di tempatku dan membaca segala ayat al-Quran yang pernah kuhafal. Tawakalku memanjat langit dunia. Kebetulan, aku berjubah hitam dan bertudung labuh warna hitam. Aku menggunakan kesempatan itu untuk menyembunyikan diriku di balik warna malam. Cebisan kain turut kututup pada wajahku yang berkulit cerah.

Saat yang amat mendebarkan dalam hidupku, kelihatan anjing yang garang sedang berlari ke arahku. Kupujuk hati, anjing itu akan baik padaku kerana ia tidak menyalak. Samseng jalanan pula seakan sedang memandang-mandang ke arah lokasiku. Ketika itu, aku mengucapkan dua kalimah syahadah berkali-kali. Aku siapkan emosi untuk berjihad mempertahankan diri. Biar nyawa jadi taruhan, menyerah tidak sekali!

Allah menjadi saksi. Aku bagaikan tidak percaya apabila melihat anjing itu sekadar melintasiku seolah-olah langsung tidak melihatku di balik kegelapan. Walau bagaimanapun, aku masih resah melihat samseng jalanan asyik memandang ke arahku. Aku bertambah risau membayangkan Puan Norliza mungkin tidak dapat mengagak lokasiku itu kerana dia asyik menelefonku. Tiba-tiba samseng jalanan itu beredar. Bunyi ekzos mengaum pergi, pelbagai aksi. Mereka seakan-akan memandang dengan pandangan yang kosong sahaja ke arahku sebentar tadi. Puan Norliza pula sampai, menambahkan syukurku. Hatiku yakin, Allah telah menyelamatkanku di balik tudung labuh berwarna gelap itu. Alhamdulillah!

Menyelamatkan Beg Tanganku daripada Ragut

Seorang temanku dari Brunei sudah beberapa hari tidak datang ke kelas sarjana. Aku risaukan keadaannya. Apabila dia datang kembali, aku segera bertanya. Dia menunjukkan pipinya yang calar sambil bercerita dengan juraian air mata.

Dua orang pemuda yang menunggang laju meragut beg tangannya. Dia ikut terseret. Ketika itu pula dia sedang mengandung dua bulan. Hampir-hampir keguguran. Kedua-dua lututnya terluka. Pipi dan tangannya tercalar. Berdarah.

Aku sedih mendengar ceritanya. Dia memegang hujung tudungku sambil menyimpulkan, “Jika akak pakai tudung labuh macam ni, tentu diorang tak nampak beg tangan akak.” Kata-kata itu membuatkanku benar-benar berfikir jauh. Aku bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana tidak pernah menjadi mangsa ragut. Baru aku sedar, rupa-rupanya antara faktor yang menyelamatkanku adalah kerana beg tanganku sentiasa tersembunyi di bawah tudung labuh. Cuba anda bertanya kawan-kawan anda yang menggalas beg tangan di bawah tudung labuh, pernahkah mereka menjadi mangsa ragut?

Mendekatkan Jodoh dengan Lelaki Soleh
Aku hairan melihat beberapa orang temanku yang mulanya bertudung labuh tapi akhirnya menukar penampilan kerana takut tidak dipinang. Aku hormati penampilannya selagi masih menutup aurat namun jika itu alasannya, dia mungkin tersilap. Aku yang tetap bertudung labuh ini juga akhirnya yang agak cepat menerima pinangan.

Suamiku mengakui antara faktor yang meyakinkannya pada agamaku saat memilih bunga untuk disunting adalah kerana nilai tudung labuhku. Wanita bertudung labuh lumrahnya hanya berani dirisik oleh lelaki yang mempunyai persiapan agama. Jika malas hidup beragama, mereka akan berfikir beribu kali untuk memiliki seorang suri yang bertudung labuh. Rasa tidak layak. Rasa perlu membaiki diri terlebih dahulu.

Pernah juga aku dan suami cuba memadankan beberapa orang temanku dengan lelaki-lelaki soleh yang kami kenali. Apabila biodata bertukar tangan, gadis bertudung labuh rupa-rupanya menjadi kriteria penting seorang lelaki soleh. Malang bagi temanku yang sebenarnya baik dan berbudi bahasa, namun kerana penampilannya itu melambatkan jodohnya.

Benar, kita tidak boleh menilai seseorang hanya melihat luarannya. Namun, realitinya, kadang kala masa terlalu singkat dan peluang tidak ada untuk kita mengkaji dalaman seseorang sehingga terpaksa menilainya hanya melalui luarannya. Contoh realiti, jika kita ingin membeli nasi lemak di gerai. Kelihatan penjual di gerai yang pertama ialah seorang makcik bertudung labuh. Penjual di gerai kedua pula seorang wanita tidak bertudung dan rambutnya menggerbang lepas. Mana yang kita pilih? Kenapa cepat membuat pilihan sebelum mengkaji dalaman kedua-duanya dahulu? Apa nilaian kita ketika itu? Fikir-fikirkan.
               
*********************************************************************

Begitulah sedikit sebanyak kisah perjalanan hidupku sepanjang bermusafir di bumi Allah ini.  Moga dengan usia yang semakin bertambah akan membuatkan aku lebih matang dalam mendekatkan diri kepadaNYA.  Kukesali dengan kejahilanku yang lalu, namun ianya sudah menjadi sejarah yang tidak mungkin dapat ku ulang dan juga tidak ingin ku ulangi lagi.  Biarlah aku membuka kisah hidup yang baru sebagai seorang muslimah yang dirahmati Allah SWT.  Tidak ingin lagi diri ini hidup dalam kejahilan yang jelas nyata tercipta.  Ampunkan aku Ya Allah.  Bantulah aku untuk terus istiqomah di landasan syariatMU. Terngiang-ngiang  di telingaku seorang sahabat berpesan “tiada siapa yang dapat merubah jika diri tidak berubah, tiada siapa yang akan memberi  jika acap kali kau minta simpati”….begitu mendalam maksudnya bagiku.  Terima kasih atas segalanya.  Moga travelog hidupku ini mampu mengubah persepsi negatif sesetengah pihak terhadap golongan yang bertudung labuh.  Kami bukan golongan pemberontak fesyen moden, bukan juga golongan yang suka membantah.  Namun kami merupakan golongan yang punyai prinsip tersendiri.  Prinsip untuk mendapatkan redha Allah dalam apa jua yang kami lakukan.  Kami tidak mempunyai kekuatan untuk berjihad di medan perang.  Jadi inilah jihad kami dalam melawan salah satu musuh utama iaitu NAFSU yang gemarkan tabarruj.  Renungkanlah, moga beroleh manfaat………sesungguhnya yang baik itu datang daripada Allah dan yang jahil itu datang daripada kelemahan saya sendiri.  Astaghfirullah….


                                                                                                                                                                                                     
Kami bidadari besi yang bersemangat WAJA,
Tangis kami bukan bererti lemah,
Lembut kami bukan bererti mengalah,
Selagi hayat dikandung badan, 
insyaAllah jihad ini akan kami pertahankan..!!!


By Sahara Hamid

No comments:

Post a Comment