Monday, February 20, 2012

Cerpen : Bersyukurlah..

Zamri, remaja berusia 17 tahun, dilahirkan dalam suasana keluarga yang serba kekurangan namun mereka tidaklah sedaif mana.  Hanya cukup untuk memenuhi keperluan harian.  Namun hidup mereka dilimpahi kasih sayang dan saling mengambil berat antara satu sama lain.  Zamri bertuah dikurniakan ibu bapa yang penyayang dan prihatin terhadap perkembangan semasa anak-anak mereka.  Namun jauh di sudut hatinya kadangkala berasa cemburu akan kemewahan yang dipamerkan oleh rakan sekeliling. 
  Berbekalkan telefon bimbit di tangan masing-masing, mereka melangkah penuh gaya.   Apatah lagi dapat memandu kenderaan sendiri untuk ke sekolah.  Namun dia ditakdirkan tidak punya itu semua.  Hanya mengharapkan dua pasang kaki yang dikurniakan Ilahi untuknya menghayun langkah saban hari ke sekolah yang tidak kurang jauhnya.  Walaupun begitu dia redha dan ikhlas menerima keadaan diri seadanya ditambah pula sokongan dan dorongan yang tidak pernah putus dari bibir kedua orang tuanya membuatkan dia lebih bersemangat untuk berjuang membela nasib keluarga.
  Zamri mempunyai seorang sahabat karib, Ehsan, daripada keluarga yang berada.  Walaupun Ehsan daripada golongan remaja serba mewah namun hakikatnya anak muda itu kekurangan sesuatu yang amat bernilai dalam hidupnya iaitu kasih sayang.  Zamri menjadi tempatnya mencurah segala rasa yang terbuku di hati.  Ehsan jarang dapat berjumpa ibu bapanya walaupun mereka tinggal di rumah yang sama.  Manakan tidak, sebelum dia bangun ibu bapanya sudah keluar bekerja, dan apabila dia sudah tidur, mereka baru pulang dari kerja.  Hari minggu pula keduanya sibuk dengan persatuan masing-masing.  Hanya wang yang banyak menjadi lambang kasih sayang antara dia dan kedua ibu bapanya.  Kadang kala dia sendiri berasa cemburu melihat keakraban dan kebahagiaan keluarga Zamri.
  Itulah yang membuatkan Zamri sentiasa bersyukur dan ikhlas dengan keadaan dirinya.  Walaupun dia serba kekurangan namun itulah pengajaran yang paling berharga dalam usaha mematangkan diri.  Dia bersyukur walaupun keluarganya tidak semewah Ehsan namun mereka mewah dengan kasih sayang dan ia tidak mungkin dapat dibeli dengan wang ringgit.  Ya, sememangnya tidak mungkin!

No comments:

Post a Comment