Monday, February 20, 2012

Cerpen : Sempurnakah kita di mataNYA?

Kelahiran Haziq memang dinanti dengan penuh bahagia.  Namun sebaik anak kecil itu lahir, keadaan berubah serta merta.  Kasih dan perasaan terhenti tiba-tiba.  Anak itu disahkan oleh doktor menghidap kecacatan pekak dan bisu.  Izah dan suami tidak dapat menerima kenyataan itu dengan hati terbuka.  Mereka tidak menyangka sama sekali zuriat ketiga ini berbeza daripada yang lain lantas menafikan takdir Allah sewenang-wenangnya.   Akibatnya anak itu membesar tanpa kasih sayang yang sempurna.  Haziq dilayan seolah-olah seperti orang yang menumpang di rumah itu.  Kehadirannya tidak dirasai dan dia terasa benar-benar terasing di rumah sendiri.  Walaupun keperluannya dipenuhi namun hidupnya hanya menumpang kasih dari pembantu rumah tersebut iaitu Mak Som.  Mak Somlah yang menguruskan segala makan pakai Haziq dari bayi hingga dewasa.    Ibu bapanya hanya memerhati dengan perasaan dan hati yang kaku.  Masih belum dapat menerima hakikat dan hikmah di sebalik kejadian yang Allah ciptakan.  Haziq merasai situasi itu namun dia redha dengan penerimaan kedua orang tuanya terhadap dirinya.  Walau apa pun yang berlaku, dia perlu bersyukur kerana tanpa mereka dia tidak mungkin lahir dan merasai nikmat dunia ini.  Saban hari dia berharap agar suatu masa nanti dia berpeluang merasai kehangatan kasih dan pelukan daripada seorang yang bergelar ibu dan ayah.
Suatu petang tika Izah dan suaminya menonton ceramah di televisyen, seorang ustaz dalam menyampaikan ceramahnya berkata, antaranya:
  Setiap ciptaan Allah itu mempunyai keistimewaan yang tersendiri.  Tiada suatu pun yang sia-sia.  Kita sebagai manusia tidak layak untuk menghina setiap ciptaanNYA.  Orang bisu, pekak dan buta sekalipun mempunyai keistimewaan mereka sendiri yang kita tidak sedar.  Antaranya ialah jika orang tersebut bisu, dia sudah kurang satu dosa mengumpat dan memperkatakan sesuatu yang tidak baik seperti lazimnya seorang manusia itu.  Jika pekak pula, dia kurang satu dosa iaitu mendengar sesuatu yang tidak baik seperti umpatan dan sebagainya.  Manakala jika dia seorang yang buta, dia juga sudah kurang satu dosa melihat sesuatu yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah seperti maksiat dan zina.  Jadi layakkah kita sesama manusia mencemuh mereka? Sedangkan hakikatnya mereka jauh lebih baik daripada kita yang sempurna fizikalnya ini…”
  Izah dan suami berpandangan sesama sendiri.  Masing-masing terdiam dan berfikir.  Lantas mereka teringatkan Haziq, anak yang selama ini mereka abaikan hanya kerana kekurangan yang dialami.  Segera mereka meluru ke kamar haziq.  Dengan penuh kasih mereka memeluk anak itu sambil air mata bercucuran di pipi.  Haziq tersenyum dalam tangisan.  Akhirnya doa beliau dimakbulkan Allah SWT.  Haziq benar-benar bersyukur.

No comments:

Post a Comment